Refleksi

Pembangunan Blog merupakan tugasan individu bagi pelajar PJJ UPSI dalam KRT 3013 – Teknologi Maklumat Sekolah Rendah. Tugasan ini meminta saya membina blog P&P bagi satu topik pengajaran yang dipilih berdasarkan sukatan mata pelajaran dari Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pada mulanya, tugasan ini memang merupakan salah satu cabaran yang besar kepada saya kerana sebelum ini saya langsung tidak mengenal tentang pembinaan blog. Memang syukurnya kerana pihak UPSI telah menyediakan cara membina blog untuk pelajar PJJ. Mengikut cara tersebut, saya berjaya membina blog saya.

Walaupun blog ini bukan baik sangat tetapi saya berasa bersyukur kerana telah mendapat pengetahuan dan pengalaman yang tidak pernah dirasai. Di sini saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah membantu saya semasa membangunkan blog ini.

Mata Pelajaran yang saya pilih untuk membina blog P&P ialah Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 4. Topik yang saya pilih ialah Topik yang keempat iaitu Kenali Budaya Malaysia. Saya berharap blog ini dapat menjadi bahan bantu mengajar bagi guru-guru yang mengajar Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan semasa mengajar topik tersebut.  

Dalam usaha menjadikan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan sebagai mata pelajaran menarik dan berkesan, pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran mesti digunakan. Kepelbagaian strategi ini harus memberi penumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid dan berorientasikan aktiviti hands-on di dalam dan di luar bilik darjah.

Oleh itu, strategi yang dijalankan sewajarnya dapat meningkatkan pengetahuan murid tentang isu sivik, menerapkan pelbagai kemahiran dan memupuk nilai sivik ke arah melahirkan warganegara yang bertanggungjawab, patriotik dan bersatu padu.

Semoga blog P&P yang saya bina ini dapat memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh pihak UPSI. Saya juga berharap blog ini dapat menjadi bahan bantu mengajar kepada guru-guru. Sekiranya ada apa kesalahan dan kesilapan, harap berikan komen pada ruang yang disediakan supaya dapat ditambahbaikan kualiti blog ini.