Objektif Pembelajaran


Mata Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diajar sebagai satu mata pelajaran persekolahan mulai tahun 2005, di sekolah rendah dan menengah. Pada masa dahulu, Pendidikan Sivik bertumpu pada struktur dan jenis kerajaan. Tetapi kini, mata pelajaran ini memberi tumpuan pada keadaan semasa masyarakat serta keperluan masa depannya.

Sivik merujuk kepada hubungan individu dengan masyarakat di sekelilingnya. Manakala kewarganegaraan merujuk kepada hubungan individu dengan negaranya. Guru membantu murid menguasai pengetahuan sivik, kemahiran sivik dan nilai sivik supaya menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

Berdasarkan keadaan semasa yang melanda golongan remaja, kurikulum mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan memberi tumpuan utama pada isu perpaduan, patriotisme dan pemahaman kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Melalui kurikulum ini diharap dapat melahirkan individu yang bersemangat patriotik, boleh bekerjasama dengan orang lain, mengapresiasi kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia, menyelesaikan konflik tanpa menggunakan keganasan, menyayangi alam sekitar dan menyumbang ke arah pembangunan negara.

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bertujuan memberi kesedaran kepada murid tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik dan yang boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia.


Objektif
Objektif mata pelajaran ini merangkumi tiga aspek iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai.
1. Objektif Pengetahuan :
i. Mengenal pasti tingkah laku yang boleh menyumbang terhadap pembangunan watak yang mulia.
ii. Menerangkan peranan dan tanggungjawab ke arah pembinaan keluarga yang bahagia.
iii. Menjelaskan kepentingan hidup bersama secara harmoni.
iv. Memahami pelbagai agama, tradisi dan budaya masyarakat Malaysia.
v. Menerangkan sistem kerajaan Malaysia dan sumbangan pemimpin negara.
vi. Mengenal pasti cabaran dan ancaman dalam masyarakat.

2. Objektif Kemahiran :
i. Mengurus diri dengan baik dan bertanggungjawab.
ii. Mengamalkan kesederhanaan dalam tingkah laku.
iii. Berinteraksi secara sopan dengan anggota keluarga, rakan dan masyarakat.
iv. Menangani konflik diri, keluarga dan rakan.
v. Belajar hidup bersama untuk kesejahteraan diri dan masyarakat.
vi. Menyertai aktiviti masyarakat untuk kebaikan bersama.
vii. Membuat keputusan yang bijak dengan mengambil kira kepentingan diri dan orang lain.

3. Objektif Nilai :
i. Mempunyai keyakinan terhadap kebolehan diri.
ii. Menghargai sumbangan ibu bapa dan anggota keluarga.
iii. Menghormati kaum dan budaya lain.
iv. Menyayangi alam sekitar.
v. Menunjukkan semangat kekitaan.
vi. Menghormati pemimpin dan menghargai jasa mereka.
vii. Menunjukkan perasaan bangga dan cinta akan negara.